Tuesday, September 7, 2010

Alumni SMK Agama Baling

Seiring Sejalan Bersama SMKAB

Archive for June, 2009

Kursus Aspirasi Bestari

Posted by fiquer On June - 30 - 2009

Kursus yang diberi nama Kursus Aspirasi Bestari ini diadakan khas untuk ahli Briged Bestari. Kursus yang berlangsung selama 4 hari ini, bermula pada 25 Jun yang lalu, diadakan bagi menggantikan program tahunan Unit ICT SMKAB, Minggu Jejak Bestari yang terpaksa dibatalkan pada tahun ini kerana beberapa sebab tertentu.

Sepanjang kursus ini, seramai tiga orang bekas ahli briged bestari (alumni) terlibat sebagai fasilitator manakala para peserta terdiri dari ahli Briged Bestari. Pada tahun yang sudah dan sebelumnya, bermula dari tahun 2005, telah diadakan program Minggu Jejak Bestari dibawah kelolaan Unit ICT dan Briged Bestari dengan kerjasama bekas Briged Bestari SMKAB. Setiap tahun, selama seminggu lebih, program ini menemui para pelajar dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan ICT.

Namun, pada tahun ini, program Minggu Jejak Bestari atau lebih dikenali dengan nama ringkas ‘MJB’ ini ditangguhkan kerana sebab-sebab yang tertentu. Antara sebab utamanya adalah ahli Briged Bestari itu sendiri tidak mendapat input yang berguna sepanjang MJB tersebut kerana mereka terlibat secara langsung untuk menguruskan acara.

Oleh yang demikian, Kursus Aspirasi Bestari ini diadakan sebagai bertujuan mencungkil dan mengasah kemahiran ahli briged yang sedia ada supaya kebolehan yang mereka miliki tersebut dapat membantu rakan-rakan dan guru-guru dalam soal kemahiran perkomputeran ini.

Dalam hari pertama kursus, terlebih dahulu, barisan alumni yang terlibat diamanahkan oleh Guru ICT, Cikgu Wan Hazlina untuk mengadakan satu sessi temuduga pemilihan ahli-ahli baru Briged Bestari. Temuduga diadakan memandangkan terlalu ramai pelajar yang berminat untuk menyertai pasukan briged ini.

Untuk hari yang seterusnya, aktiviti dijalankan dalam kumpulan dan dibahagikan kepada tiga sessi. Antara kursus-kursus yang dijalankan adalah seperti, penyelenggaraan PC, pembinaan laman web dan blog, kursus Adobe Photoshop, SwishMax, SketchUp Pro, serta bimbingan untuk menjadi ahli briged yang contohi.

Album Kursus Aspirasi Bestari, klik disini.

Tunas Muda 09

Posted by Alumni SMKAB On June - 12 - 2009

Bermula dari 29 Mei hingga 1 Jun yang lalu, suasana di SMKA Baling sekali lagi riuh dengan kehadiran bekas-bekas pelajar bagi menguruskan satu program tahunan, Kem Tunas Muda. Alhamdulillah, tamat sudah program tersebut dengan jayanya.

Ibarat sireh pulang ke gagang, kehadiran bekas-bekas pelajar sememangnya dialu-alukan oleh pihak sekolah. Untuk tahun ini, program yang bertemakan ‘Akhlak Al-Quran Pemangkin Generasi Quraani’ telah dinakhodakan oleh pengarah program, saudara Mahzan (G7). Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, program kerohanian ini memfokuskan kepada pelajar-pelajar tingkatan dua sahaja.

Namun, yang menariknya, program sebegini sememangnya disambut baik oleh alumni SMKAB. Saban tahun, seramai hampir 60 orang wakil alumni yang dikumpul dari setiap generasi hadir bagi memberikan komitmen yang padu terhadap program ini. Ia ibaratkan seperti ‘mini reunion’ bagi yang hadir kerana disaat ini kebanyakan yang hadir dapat bertemu semula rakan-rakan seperjuangan dahulu, sama ada senior atau junior. Tambah menarik, program sebegini juga menemukan para alumni dengan guru-guru kesayangan.

Selama empat hari berkampung di taman raudhah SMKAB, pendedahan tentang pengalaman dan sedikit sebanyak ilmu yang berguna dicurahkan kepada adik-adik peserta yang terlibat. Disamping bertujuan untuk membimbing adik-adik, program sebegini juga telah memberi peluang kepada alumni yang terlibat untuk menabur bakti kepada sekolah tercinta.

Tentunya ramai dikalangan alumni yang belum pernah menyertai program ini berhajat untuk menyertainya. Yang pastinya, jasa dan khidmat bakti para alumni sememangnya dialu-alukan oleh pihak sekolah. Diharapkan, untuk tahun-tahun yang mendatang, ramai lagi alumni dapat turut serta dalam program sebegini demi kegemilangan SMKAB yang dicintai.

Untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut, bolehlah lapangkan masa mengunjungi blog rasmi Kem Tunas Muda di http://tunasmuda.co.nr.

Album Tunas Muda, klik disini.

*sebarang komen dan maklum balas bolehlah diemailkan ke alumnismkab@gmail.com. Segala komen dan maklum balas anda amatlah dihargai.

Video Today

Video imbasan program Tunas Muda pada tahun 2008. Program anjuran Jawatankuasa Pembentukan Sakhsiah dengan kerjasama bekas-bekas pelajar SMKAB.

USER LOGIN